Nilai Rasa Hormat MIC

Sememangnya ada percambahan kepelikan dalam budaya masyarakat Malaysia. Kalau dulu tanpa mengira kaum dan agama ada segan silu dan rasa hormat, tetapi kini nilai-nilai itu semakin menyusut.

Penyusutan nilai itu boleh dilihat pada hari terakhir Perhimpunan Agung MIC Ke-63 kelmarin. Seorang perwakilan mencadangkan “kalung selipar” pada gambar Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kebiasaannya, tradisi masyarakat India adalah mengalungkan bunga malai sebagai penghormatan baik kepada orang perseorangan mahupun pada gambar.

Tetapi kali ini tradisi yang ditawarkan amat menyongsang dan umpama idea orang yang hilang akal.

Bagi “menghormati” dan “menghargai” jasa bekas Perdana Menteri, perwakilan itu mahu “kalung selipar” diletak pada gambar beliau.

Semuanya itu gara-gara kenyataan Dr Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.

Biar pun cadangan itu tidak mendapat sokongan tetapi cetusan idea perwakilan dari Ampang, M. Muniandy cukup untuk menggambarkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Betapa ada riak kekebalan dalam nada ucapan perwakilan itu. Ada juga unsur angkuh di situ.

Paling jelas ada suara biadab yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.

Beliau tidak boleh menerima rumusan Dr Mahathir yang Samy Vellu tidak pernah membuat apa-apa untuk kesejahteraan kaum India di negara ini.

Bagi Muniandy, Dr Mahathir adalah orang luar yang tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan MIC.

Bekas Perdana Menteri itu juga diselar kerana menegur pemimpin parti itu yang dikategorikan oleh perwakilan berkenaan sebagai seorang yang bijak untuk memimpin parti dengan cara yang baik.

Lebih menarik perhatian, perwakilan yang boleh saja dikatakan “peminat setia” Samy Vellu memberikan satu perbandingan melampau.

Bekas Menteri Kerja Raya itu disamakan dengan “pokok ara” dengan akar yang teguh dan tidak akan berganjak walaupun ditiup angin kencang.

Justeru gambar orang yang cuba menggoncang pokok ara itu selayaknya dikalungkan dengan kasut lantaran wujudnya dua darjat di situ – yang pertama sungguh mulia, manakala yang keduanya berada pada kasta yang amat rendah.

Manakala MIC pula seolah-olah parti yang sangat berjaya dan cemerlang pencapaiannya sehingga tidak boleh disentuh atau ditegur. Pemimpinnya juga disifatkan sebagai penyelamat dan pengawal masyarakat India di negara ini.

Sedangkan semua orang tahu di mana kedudukan parti itu sekarang terutama apabila memperkatakan tentang meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Semua orang tidak lupa apa puncanya pertubuhan haram Hindraf ditubuhkan. Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati kaum itu terhadap prestasi Samy Vellu yang menyebabkan golongan kaya semakin kaya dan yang miskin terus merempat.

Terlekat di fikiran semua orang bagaimana penolakan pengundi-pengundi India terhadap kepimpinan sedia ada semasa pilihan raya umum Mac tahun lalu sehingga parti itu mencatatkan pencapaian terburuk dalam rekod pilihan rayanya.

Samy Vellu antara nama yang tewas.

Banyak orang India mendendangkan keluhan mereka – betapa bertahun-tahun dinaungi pemimpin yang seorang itu, tiada kemajuan atau peningkatan taraf hidup yang ketara boleh dilihat.

Sepatutnya acara terbesar yang menghimpunkan masyarakat India di negara ini dari sudut politik menjadi medan untuk muhasabah diri, mengingatkan setiap pemimpin parti itu bahawa jangka hayat mereka tidak lama.

Kini ada Parti Keadilan Rakyat yang menawarkan tempat untuk orang India, ada juga Hindraf yang sering menjadi rujukan masyarakat itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Tidak mustahil jika kebiadaban seperti yang ditunjukkan Muniandy dibiarkan begitu sahaja, nama MIC akan luput dari kamus pilihan raya Malaysia.

Hasrat untuk merealisasikan harapan bahawa MIC adalah mengenai masa depan kaum India mungkin tinggal mimpi jika ahli-ahli lepas laku dan tiada rasa hormat kepada pemimpin dibiarkan menjadi api dalam sekam.

Hakikatnya cadangan perwakilan Ampang itu seharusnya dipandang serius oleh Presiden MIC itu sendiri.

Tindakan Samy Vellu mengulas teguran Dr Mahathir juga merupakan satu kesilapan awal yang dilihat menjadi punca ahlinya mendapat keberanian untuk mengemukakan cadangan kurang ajar itu.

Sebab itu apa yang berlaku di hari terakhir perhimpunan mesti menjadi pengajaran. Sebagai pemimpin yang dipercayai sarat dengan pengalaman dalam bidang politik, percaturan bekas Menteri Kerja Raya dalam menangani kemelut politik dalaman MIC tidak mudah.

Beliau sepatutnya bijak mengatur strategi, memelihara kesopanan dan kesusilaan serta menjaga hubungan akrab sesama parti komponen BN dengan “menenangkan” teguran Dr Mahathir itu.

Bukankah pemimpin veteran MIC yang satu masa dahulu bersedia “sehidup semati” dengan Dr Mahathir sangat masak dengan ketelusan bekas Perdana Menteri ketika melontarkan kata-katanya.

Justeru sepatutnya isu teguran itu boleh diatasi umpama menarik benang dalam tepung, tepung jangan berselerak dan benang jangan putus.

Dan dalam kes teguran Dr Mahathir biar pun dilihat sangat pedas tetapi sepatutnya diambil pengajaran daripadanya dan pada masa yang sama ahli-ahli parti diberi peringatan supaya tidak bertindak balas mengikut kata hati yang akhirnya boleh membawa “mati”.

Hakikatnya Dr Mahathir sangat arif dan mempunyai alasan terbaik untuk membuat kesimpulan seperti yang dilontarkan tempoh hari.

Bekas Perdana Menteri itu mengetahui siapa Samy Vellu yang bertahun-tahun berada dalam barisan Kabinetnya. Beliau semestinya tahu apa yang telah dibuat oleh pemimpin itu untuk masyarakat India sejak puluhan tahun lalu. Beliau juga tahu apa yang tidak dibuat oleh Samy Vellu sepanjang tempoh tersebut.

Paling penting masyarakat India tahu segala-galanya tentang progres kehidupan mereka di bawah naungan “pokok ara” itu.

Dan pengetahuan itu tidak selayaknya disusuli dengan kenyataan sangat biadap yang berkumandang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.

Biar pun Samy Vellu berjanji akan mengenakan tindakan terhadap Muniandy, namun ada tanggungjawab yang lebih besar mesti dilakukan.

Berkata benar kepada ahli-ahli parti, berkhidmat untuk parti dan jika terbukti tidak lagi mampu memimpin parti maka berundurlah. Masyarakat India mahu perubahan dan perubahan itu bukan lagi di bawah “pokok ara”.

Tidakkah mereka sedar pokok ara itu hakikatnya semakin dimakan anai-anai lantaran tegaknya ia sejak berpuluh tahun lalu tidak lagi dapat memberi manfaat kepada sesiapa.

Noraini Abd Razak

Dipetik dari Utusan Malaysia 15 September 2009
Sindrom taksub, fanatisme orang Melayu

Oleh Feriz Omar

MASIH ingatkah kisah kumpulan Al-Arqam yang pernah menggemparkan negara sekitar awal 1990-an dahulu? Kalau nak diikutkan, asal ceritanya bermula dengan seorang ustaz biasa yang giat berdakwah.

Saban hari, fahaman itu berkembang membentuk suatu kumpulan agama yang besar dan memiliki entiti perniagaan dalam pelbagai bidang.

Akhirnya pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad langsung lupa daratan, tenggelam dalam kekuasaan dan mula menyerong daripada akidah Islamiah sebenar. Ashaari mula menjadi idola puluh ribuan pengikutnya dan dianggap wali yang cukup tinggi tarafnya.

Tulisan hari ini sebenarnya bukanlah hendak merungkai isu Al-Arqam. Tetapi yang mahu diperhalusi dan dibicarakan ialah sentimen dan elemen ‘fiil’ Melayu bila mana ia terlalu taksub dalam satu-satu hal.

Dalam konteks Al-Arqam ini misalannya, ketaksuban yang tak kena gaya, tidak berpandukan ilmu dan asas Islam yang hakiki menyebabkan penyelewengan berlaku.

Akhirnya pemimpin pula didewa-dewakan, dipuja dan dihormati secara melampau. Kumpulan yang didokong pula bagai dapat merealisasikan segala-gala hajat dan diumpamakan tiada cacat-cela.

Taksub Berpolitik

Kalau dikaitkan dengan suasana berpolitik orang Melayu sendiri, macam itu jugalah perangai ketaksubannya. Sesetengahnya, bila sudah terlampau fanatik dan percaya dengan parti yang disokong, rasional daripada parti lawan ditolak mentah-mentah.

Sifat, “aku saja betul” dan “kau tetap salah” mewarnai semangat dan kepercayaan politik. Tuduh-menuduh menjadi kebiasaan dengan isu halal-haram dan betul-salah sudah bukan lagi asas pertimbangan. Asalkan yang disokong menang!

Lebih parah sebenarnya, bila adunan politik itu disadur pula dengan kepentingan Islam. Seperti yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam; dan orang Melayu adalah contohnya paling tepat yang mudah tertarik dalam hal-hal berunsur keagamaan.

Yang jadi mangsa adalah pengikut yang mempunyai kefahaman agama setakat ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Gara-gara kecetekan ilmu, mereka ini sering hilang punca dan selalu berdasarkan sentimen perasaan dalam pertimbangan antara hak dan yang batil serta bersikap tertutup dalam menerima buah fikiran yang dilihat berasal daripada kelompok lain.

Bila asas agama digunakan untuk membuktikan betul-salah sesuatu perkara, soal dosa pahala, kafir dan syurga-neraka pun menjadi isu yang terbeban untuk dibicarakan dan dihukum oleh sang pengikut. Inilah yang malangnya; menghukum dan membuat kesimpulan tanpa ilmu di dada!

Perdebatan Mengarut dan Tidak Berfaedah

Isu di sini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memisahkan entiti agama daripada politik. Agama Islam sememangnya syumul atau ‘complete’. Namun, asas agama tentulah wajib dijadikan pegangan setiap insan politik yang bernama ‘Melayu’ dan berjatidirikan ‘Islam’.

Tetapi dalam suasana hiruk-pikuk dan kecelaruan kefahaman Islam yang setakat ‘separuh masak’ saja di kalangan ramai Muslimin di Malaysia, perlu ada boundary tertentu agar agama tidak sampai terseleweng dan disalah tafsir.

Oleh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau sesebuah pertubuhan, hari ini Islam dilihat lebih cenderung ke arah menilai tahap keimanan, mencari perbezaan fahaman imam yang diikuti dan menilai tahap roh perjuangan sehingga menjadikan umat Islam berpecah-belah.

Kita sepatutnya mencari persamaan dan elakkan perbezaan. Begitu banyak perdebatan dan perbalahan yang sudah sampai ke tahap mengarut dan tidak berfaedah.

Justeru itulah, Islam memerangi kejahilan ilmu kerana akibat buruknya mampu melahirkan manusia bersifat taksub membabi-buta. Ketaksuban juga akan memecah-belahkan umat Islam bahkan menjahanamkan hubungan silaturrahim sesama Muslim.

Paling buruk, apabila ia mula menganggu-gugat keamanan dan kestabilan sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Orang-orang bukan Islam akan merasa salah faham dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.

Kembalilah kepada asas al-Quran yang menyarankan kepentingan ilmu supaya kita tidak terperangkap dalam ketaksuban fanatisme dan membuta-tuli yang menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara tercinta.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan

Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Dipetik dari Utusan Malaysia, 15 September 2009

KACANG…

Kacang pada awalnya adalah merupakan seorang yang tidak mempunyai apa-apa. Tetapi beliau telah diambil oleh seorang lelaki yang memrintah negeri tempat dia tinggal sebagai anak angkat. Lelaki tersebut bernama Kulit. Kacang telah dijaga dan dipupuk oleh Kulit ibarat menjaga anaknya sendiri. Sehingga Kacang mendapat tempat dan menjadi orang penting di negeri tersebut. Setelah sekian kian lama hidup di negeri tersebut, Kacang mula lupa diri. Dan apabila Kulit telah hilang kuasanya di negeri tersebut, Kacang mula berlagak seperti pokok ara besar yang kononnya tidak akan akan tumbang hatta di landa taufan sekalipun. Segala jasa Kulit yang menjaga Kacang dari tidak mempunyai apa-apa, dari hidup merempat di negeri tersebut, dari begelumang dengan bau busuk, sehingga dia mendapat tempat di negeri itu, sehingga dia mempunyai kepentingan di sana terus sahaja dilupakan. Ibarat Kulit tidak mempunyai apa-apa jasa kepada dia. Sehinggakan apabila Kulit bersuara, dengan anggkuh Kacang terus sahaja membantah dan menghina pemimpin tersebut tanpa rasa bersalah. Seolah-olah, pemimpin itu tidak pernah menabur bakti kepadanya sebelum ini. Itulah Kacang, yang telah melupakan kulitnya yang selama ini telah menjaganya dari segala ancaman dan bencana, dan apabila kulit itu sudah tiada nilainya terus sahaja dilupakan…

Itulah perwakilan MIC, mereka telah lupa jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Tun Dr. Mahathir kepada masyarakat India secara amnya dan kepada Dato’ Seri Samy Vellu secara khususnya. Tergamak perwakilan dari parti komponen tersebut yang merupakan kaum minoriti menghina seorang negarawan yang telah banyak menabur bakti kepada negara, dan yang telah membantu membanggunkan masyarakat India dengan kenyataan begitu. Atau, adakah tradisi memberi kalungan bunga sebagai tanda hormat di kalangan masyarakat India di negara ini telah berubah kepada memberikan kalungan selipar? Cuba kenang kembali di manakah kaum India lebih dua dekad yang lalu? Atau lebih khusus dimanakah Datuk Seri Samy Vellu (yang diibaratkan sebagai pokok ara besar oleh perwakilan tersebut) pada lebih 20 tahun yang lalu? Kalau bukan Tun yang menjaga mereka, yang menaburkan bakti membangunkan taraf hidup mereka. Perlu diingat, Tun adalah seorang negarawan yang sangat berpengaruh, nama beliau dikenali di serata dunia. Sudah tentulah ada sebabnya beliau menyarakan pendapat beliau dan sekiranya tidak bersetuju sekalipun ada salurannya, dan tidak dilarang hendak membantah tetapi bukannya dengan cara menghina. Perlu diingat juga Tun adalah nama besar di dalam UMNO, dan merupakan orang Melayu, menghina beliau seolah-olah mencabar orang Melayu. Jangan menyemarakkan lagi api perkauman di negara ini. Dan jangan mencabar orang Melayu. BN perlu bertegas dalam hal ini, kerana ini boleh menjadi punca kekalahan kepada parti, dan MIC khususnya perlu bertegas kepada perwakilan tersebut, tindakan disiplin perlu diambil.

Nilai 1Malaysia yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan sekarang ini akan gagal jika semua pihak di dalam BN terus-menerus begini, semangat perkauman tidak akan dapat dikikis, dan nilai negara bangsa yang ada di dalam gagasan 1Malaysia perlu dipelajari oleh pemimpin itu sendiri terutamanya parti komponen BN sebelum diterapkan kepada rakyat...

MELAYU OH MELAYU...

Baru-baru ini, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan perhimpunan manusia beramai-ramai di ibu kota yang telah mendatangkan banyak kerugian kepada banyak pihak yang lain. Katanya bagi menuntut keadilan bagi mereka yang ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri atau lebih dikenali dengan ISA. Kenapa perlu berhimpun? Jika ada sesuatu yang tidak betul atau dasar yang salah tiadakah saluran yang lain yang boleh digunakan yang tidak menyusahkan pihak lain? Satu hakikat yang tidak dapat disangkalkan adalah tentang rkayat kita terutamanya kaum MELAYU memang suka berkumpul dan berhimpun. Terutamanya golongan muda yang masih tiada apa-apa. Buat sahaja apa-apa perhimpunan pun, pasti akan dibanjiri oleh manusia yang bergelar MELAYU dari hiburan sehinggalah kepada penentangan politik seperti ini. Majoriti yang menyertainya adalah anak-anak MELAYU. Suatu hakikat yang sangat pelik, malahan dalam peristiwa yang berlaku baru-baru ini, terdapat juga mereka yang masih bersekolah menyertainya. Demokrasi katanya... bagi memenuhi artikel 10 Perlembagaan Pesekutuan iaitu hak kebebasan bersuara,berhimpun dan berpersatuan. Tetapi tidakkah mereka sedar bahawa apa yang diakukan oleh mereka ini merugikan diri sendiri? Terutamanya kepada mereka yang masih menuntut terutamanya yang masih bersekolah. Inilah senario anak MELAYU sekarang, sangat gemar melakukan perbuatan yang tidak berfaedah, membazir masa dan menyusahkan orang lain. Apa yang menyedihkan lagi, perhimpunan tersebut disertai oleh perbuatan keganasan, bergaduh antara dua pihak. Inilah orang MELAYU, tidak pernah sedar, tidak pernah belajar dari sejarah. Sangat memalukan, dua kumpulan dari kaum sendiri bergaduh sesama sendiri, dan ditertawakan oleh kaum lain.

Benarlah apa yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Ke Empat kita, Tun Dr. Mahathir, di dalam sajak beliau, MELAYU MUDAH LUPA. MELAYU tidak pernah ingin berubah, masih lagi berda di takuk pemikiran yang sama. Suka melakukan perkara yang tidak berfaedah, meugikan bangsa, kaum sendiri.

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...


Nukilan: Tun Dr Mahathir Mohammad semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun 2001.

Perkara-perkara yang dinyatakan oleh beliau di dalam nukilan tersebut tidak akan pernah berubah sekiranya MELAYU tidak pernah berubah. Sedarlah Melayu oh Melayu.....

BODOHKAH ANDA SEKIRANYA ANDA BELAJAR TENTANG POLITIK?

Baru-baru ini, penulis ada berdebat dengan beberapa insan, mereka mengatakan jika ingin tahu mengenai politik, apa yang mereka perlukan hanyalah minat. Penulis tidak membangkang mengenai kenyataan tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang benar. Tetapi apa yang membuatkan penulis tertarik adalah mengenai kenyataannya yang mengatakan "hanya orang bodoh je yang nak belajar pasal politik ni". Adakah anada seorang yang pandai? Bijak? Cerdik sekiranya anda mengambil aliran lain seperti undang-undang, sains sukan dan sebagainya? Penulis pernah berada di dalam bidang-bidang tersebut, dan penulis mengetahui baik dan buruk setiap bidang. tidak patut seorang mahasiswa yang masih lagi belum tamat belajar, yang masih "tergantung" mendabik dada dengan mengeluarkan kenyataan begitu. Penulis ingin melihat sejauh mana "kecerdikan" insan-insan tersebut. Adakah benar dengan mengambil bidang tersebut dapat menjanjikan sebuah masa depan yang cerah? Bukanlah penulis mengharapkan atau berdoa supaya masa depan mereka gelap atau kandas. Tetapi tidak perlulah mereka terlalu berlagak seperti itu sedangkan mereka masih tidak tahu apa yang menanti mereka. Bagi penulis belajar tentang politik tidak hanya terikat kepada politik semasa sahaja. Kita perlu mengetahui asal usul sejarah politk yang berlaku. Barulah boleh dikatakan anda tahu mengenai politik. Yang membuatkan penulis rasa sangat meluat adalah, mereka-mereka ini masih lagi tidak mempunyai sebuah tapak yang kukuh, masih lagi bergelar seorang pelajar dan yang masih lagi kandas belajar, hidup dengan menipu ibu-bapa.

Apa yang membuatkan penulis bertambah "jengkel" dengan perlakuan mereka adalah semasa mendengar mereka berdebat mengenai politik. Apa yang penulis boleh katakan adalah, perdebatan mereka hanyalah perdebatan kedai kopi sahaja, sebuah perdepatan tanpa "knowledge" atau pengetahuan yang betul. Berpandangan satu pihak sahaja. Menolak mentah-mentah apa sahaja yang dilakukan oleh sebuah pihak yang lain yang berlawanan ideologi politik masing-masing. Adakah dengan berkelakuan sedemikian, anda boleh mengatakan yang anda tahu mengenai politik? Sepatutnya, sekiranya anda ingin mengaku bahawa anda seorang yang pandai atau berpengetahuan mengenai politik anda perlu menjadi seorang yang neutral, melihat dari segenap sudut, bukan dengan membabi buta menyokong sebelah pihak sahaja. Malah, sekiranya benar anda seorang yang pandai, tidak perlulah anda mengutuk-ngutuk sesuatu pihak, sebaliknya anda perlu diam dan mendengar sahaja, sikarnaya salah ada saluranya, tidak perlu mengeji dan mencaci dari belakang. Jika anda seorang Islam, dan tidak pernah meninggalkan solat, anda patut tahu perbuatan sedemikian hanya akan mendatangkan dosa sahaja. Menambah "jelik" lagi dengan perangai insan-insan ini adalah, ketika mereka sedang belajar ini, mereka meminta sedekah daripada pihak yang mereka kutuk. Sekiranya benar mereka seorang yang fanatik terhadap sesuatu pihak, maka anda tidak patut mengambil atau meminta dari pihak yang mereka kutuk itu. Malahan mereka tidak patut belajar di institusi yang disediakan oleh pihak ini.

Seseorang yang benar-benar tahu mengenai politik, mereka perlu memilih calon dan bukannya memilih berdasarkan parti dan ideologi, kerana itulah yang dikatakan demokrasi. Tetapi ini tidak berlaku kepada insan-insan tersebut. Mereka melaungkan perkataan demokrasi, kebebasan bersuara dan sebagainya tetapi mereka sendiri tidak tahu apakah makna sebenar demokrasi. Pada penulis ini sesuatu yang sangat kelakar, melaungkan sesuatu yang mereka sendiri tidak faham apakah maknanya.

Penulis sangat menyokong mereka yang belajar mengenai politik, bagi penulis orang-orang beginilah yang benar-benar faham akan situasi semasa. Politik mengawal dan meliputi segala-galanya tidak kira dari segi pentadbiran sehinggalah kepada undang-undang. Hatta ekonomi sesebuah negara sekalipun, ia sangat berkait rapat dengan politik. Jangan pandang rendah kepada kami.

Demokrasi Tak Matang Dan Kuasa Masyarakat Sivil

Apa itu masyarakat sivil? Mengikut Edward (2004), masyarakat sivil adalah merupakan ruang yang wujud diantara pihak kerajaan dan rakyat biasa. Ruang ini dikenali sebagai ruang awam. Masyarakat sivil ini dikatakan amat penting di dalam menjaga kepentingan negara. Ia dikatakan sebagai “watchdog” atau pemerhati kepada tindak tanduk pihak kerajaan. Ia juga dikatakan sangat penting kepada sesebuah negara kerana dianggap sebagai pengimbang kepada pihak kerajaan. Kenyataan-kenyataan ini memang tidak dapat disangkalkan kerana golongan masyarakat sivil atau NGO amat penting kerana ia adalah merupakan saluran bagi memperjuangkan hak rakyat. Konsep masyarakat sivil ini telah digunakan dengan meluas sebagai konsep deskriptif untuk menilai keseimbangan antara kuasa negara dan persatuan atau badan persendirian. Bagi tradisi liberal, masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu. Ernest Gellner pula memberikan takrifan bahawa masyarakat sivil sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai institusi bukan pemerintah yang cukup kuat untuk mengimbangi negara. Walaupun ia bukan bertujuan menghalang negara memenuhi dan melaksanakan peranannya sebagai penjaga keamanan dan keselamatan serta bertindak sebagai hakim atau pengadil antara negara dan rakyat, masyarakat sivil tetap dapat menghalang usaha-usaha mendominasi warganya. Gerakan masyarakat sivil juga dikenali sebagai saluran penyertaan rakyat dalam pelbagai perkara seperti politik, sosial dan ekonomi selain mampu memberi kesan kepada hubungan kerajaan dan rakyat.

Bagi sesebuah negara yang matang seperti Amerika Syarikat yang mana demokrasinya dikatakan sebagai demokrasi yang matang, masyarakat sivil ini dapat berkembang dengan sangat subur dan baik. Rakyat negara tersebut dapat melontarkan apa yang mereka rasakan dengan aman dan tenteram tanpa berlaku apa-apa pun. Salah satu daripada faktornya adalah berkaitan dengan tahap keintelektualan rakyat di negara itu sendiri yang mana mereka memahami batas-batas penentangan yang mereka boleh lakukan. Tidak seperti di negara-negara sedang membangun, kehadiran golongan masyarkat sivil ini jika tidak dikawal dengan baik ia boleh menimbulkan satu keadaan yang huru hara. Sebagai bukti, kita boleh melihat keadaan semasa yang berlaku di negara jiran kita iaitu Thailand. Akibat kuasa suara masyarakat sivil yang terlalu kuat dan tanpa kawalan ia telah menimbulkan satu keadaan yang sangat teruk. Buat pertama kali di dalam sejarah persidangan agung negara-negara ASEAN terpaksa dibatalkan dan ditunda ke satu tarikh yang lain akibat kekacauan yang berlaku di sebabkan oleh golongan ini. Sejarah Thailand itu sendiri telah menunjukkan betapa suara masyarakatnya sangat berpengaruh. Dalam tempoh beberapa dekad mereka mengamalkan pemerintahan berparlimen, sudah ramai PM yang dilantik dan dalam masa yang sama juga telah banyak perlembagaan persekutuannya terpaksa digubal semula (Thailand boleh dikatakan sebagai pemegang rekod negara yang mempunyai paling banyak Perlembagaan Persekutuan). Bayangkanlah dalam setahun sahaja sudah ada tiga individu yang memegang jawatan tertinggi di dalam kerajaan di Thailand. Ini menunjukan bahawa suara rakyat di negara tersebut adalah sangat kuat dan berpengaruh sehinggakan mampu mengubah pentadbiran negara. Dari satu sudut, perkara ini boleh dikatakan sangat bagus, tetapi dari satu sudut yang lain pula, perkara ini adalah sesuatu yang negatif dan sangat meruncing serta memalukan pentadbiran negara tersebut.

Persoalannya, bilakah perkara ini akan berakhir? Boleh dilihat, setiap pemimpin yang naik memegang tampuk pemerintahan negara pasti akan ditentang oleh rakyat. Tidak ada satu pun yang dapat memuaskan hati rakyat di negara tersebut. Setiap pemimpin yang naik, pasti ada sahaja rusuhan yang berlaku dan terbaru rusuhan yang berlaku menentang tampuk pemerintahan Abishit yang telah mengorbankan tiga nyawa dan ratusan yang cedera. Perkara ini pada pandangan penulis adalah sangat memalukan bahkan telah berlaku buat pertama kali dalam sejarah Asean, persidangan terpaksa dibatalkan. Dengan keadaan yang begini, bilakah negara akan maju? Tidak kira dari aspek apa pun, ekonomi, politik, dan pembangunan tidak akan menjadi maju. Negara akan terus terkebelakang dan bukan ke depan. Perkara ini bukan sahaja ditujukan di Thailand sahaja bahkan kepada mana-mana negara sedang membangun termasuklah Malaysia, jika tidak ada sebarang tembok yang boleh menghalang perkara sebegini negara akan terus mundur dan kembali dijajah.

Senario di Malaysia tidak kurang hebatnya juga, sejak akhir-akhir ini dapat dilihat rakyat mula keluar beramai-beramai melakukan demostrasi jalanan. Katanya, hendak menegakkan hak mereka. Tetapi, apa yang dapat diperhatikan oleh penulis perbuatan kumpulan manusia ini tidak ubah seperti kumpulan yang tidak bertamadun. Dikatakan juga terdapat ramai kumpulan-kumpulan yang berintelektual, golongan yang mengikuti kursus pelajaran di peringkat yang tinggi, atau dengan kata mudah mereka yang belajar di universiti. Malangnya tindakan mereka ini tidak menggambarkan tahap keintelektualan yang tinggi. Terpekik-pekik menyumpah, memaki, mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya. Adakah ini yang dikatakan orang berintelektual? Mereka yang berpelajaran tinggi? Dan amat menyedihkan adalah mereka yang mengadakan tunjuk perasaan seperti itu adalah terdiri daripadda orang MELAYU. Sepatutnya mereka perlulah meluahkan pendapat, pandangan atau apa-apa yang mereka tidak setuju dalam saluran yang betul. Bukan mengadakan tunjuk perasaan seperti itu. Itu bukanlah tindakan yang orang yang berilmu. Fikir-fikirkanlah, jika mahu terus melihat bangsa kita dihina dan ditertawa, jika hendak melihat negara kita mundur, teruskanlah dengan perbuatan yang seperti itu.

Tahniah Datuk Seri Najib atas perlantikan sebagai Perdana Menteri KeEnam

Ucapan sulung Perdana Menteri keenam

Perutusan sempena penerimaan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6

Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen YABhg. Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah.

Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan YABhg. Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.

Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanah tanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara.

Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya.

Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.

Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global.

Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.

Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu.

Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.

Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGA BELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan.

Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Dengan ini saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini.

Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini - bersama sama.

Datuk Seri Najib Tun Abd Razak

Sekadar Renungan...

Kita pasti dirisik.. Pertunangan sejak
azali.. Di hujung hidup nanti..
Berlangsungnya perkahwinanmu dengan
maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak
tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..

Bagaimana? Terasa hendak
menjadi 'pengantin'
tersebut? Marilah bersama muhasabah
diri. Kita hanya
insan, mudah terleka dek godaan
syaitan...

Wallahualam

Suara seorang pemuisi...hanapi jamaludin...

Pujangga bertinta dengan pena…


TANGISAN KUALA LUMPUR

Malam ini masih seperti semalam

Semalam dan sedekad yang silam

Kuala Lumpur ibuku

Menangis lagi

Masih belum hilang luka

Sendu hadir membawa bisa

Di titiwangsa yang damai

Tasik yang permai...

Airnya hanyir dengan bauran dosa

Di dasarnya tertanam pedih menerajang

Sehingga lemas zahirnya dalam

kotak realiti berkecamuk

kusut fikiran

walau jasadnya tenang dipermukaan

namun nalurinya merintih

rawan dalam pelukan bonda

KLCC yang megah menjulang

Malam ini kulihat dadamu berdarah

Pedih ditikam mercu sendiri

Engkau tunduk dalam neon yang malap

Mungkin malu menghadap penghadapan

Mungkin tersipu melihat

kealpaan...

Lorong-lorong Chow Kit yang bisu

perawanmu telah ternoda

kekasih malam yang tak setia

antara penjual angkuh dan pembeli bongkak

tegar beradu dalam lumpur kemaksiatan

berandamu menakung tangisan

tangisan mengendong penyesalan

Tuamu dipersia dalam perjalanan…

Bukit Bintang yang menggila

Binaan maujud dari batu neraka

Simbahan neon menerka mata

Lalu jeritan bargema…

Malam ini kau menjadi saksi

Tubuhmu tenggelam dalam perigi dosa…

Dataran Merdeka nan bergelora

Ada sembilu maha dalam

tertanam didadamu

ada berita dari angin pusara

menyampaikan pesan derita

singgah berlabuh di berandamu..

Duhai malam..

telah lama kau menjadi saksi

kepiluan ini

air mata bukan lagi harga kedewasaan

tangisan tidak bisa membayar kesedihan

bebaskan kota ini dari rantai yang membelenggu

kibarkan panji-panji dari hujung

air mata yang hilang…

Darwis...


Dari tinta air mata,

seorang pengunsi

Puisi dari sahabat

Puisi-puisi yang dicoretkan oleh seorang perjuang bangsa Melayu muda, Mohd Hanapi Jamaludin...
Hayatilah...


INSPIRASI DARI AMANI

Bahasa yang kian parah

Dengan budaya yang patah

Bangsa yang mudah mengalah

Dengan ideologi yang mentah

Sekalung piala menutup pintu bermula

Seucap tahniah tidak lagi menghantar

Jiwa pulang ke sawah

Malunya menjadi diri ini

Dengan darah pekat kemelayuan

Yang membuak

Mengalir membasahi tubuh…

Kemegahan silam menjadi rindu

Kedukaan hari ini menjadi tamu

Daerah ini menjerit

Membalas rintihan pujangga

Mergastua tersedu pilu

Sembilang merintih sayu

Kerbau di sawah tidak lagi mahu menguak

Tukul kehilangan bunyi

Kasturi tidak lagi mewangi

Wahai roh melayu silam

Bangkitlah mengisi jiwa-jiwa kosong

Bangsa yang kian pudar jati diri ini

Hembuskan udara dari kehijauan budaya

Tiupkan semboyan seteguh tugu berbahasa

Serulah kepulangan pengunsi-pengunsi ini

Pulang ke kota warisan

Biar mereka tahu

Biar dunia tahu

Biar semua tahu

Bangsaku bukan untuk dihina

Melayuku bukan untuk dicerca!!!

Darwis.

puisi mengenai orang-orang yang menidakkan bansa sendiri....
Pernah memenangi Pertandingan Hari Persuratan Melayu

PPSMI dan MJ

7 Mac 2009, sekali lagi Malaysia dikejutkan dengan perbuatan masyarakat Melayu yang ‘jumud’. Perhimpunan yang dikatakan akan dijalankan secara aman seperti yang dinyatakan oleh pihak penganjur ketika meminta permit daripada pihak berkuasa telah bertukar menjadi demonstrasi jalanan sehinggakan memaksa pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) bertindak melepaskan gas pemedih mata. Apa yang dapat diperhatikan oleh penulis, rata-rata yang turut serta di dalam perhimpunan “gergasi” tersebut adalah terdiri daripada golongan-golongan muda yang pada hemat penulis adalah penunut IPTA dan IPTS. Inilah yang dibangga-banggakan oleh mereka-mereka yang berkenaan yang mendakwa mereka adalah mahasiswa-mahasiswa yang telah bangun untuk menuntut hak mereka. Tetapi realitinya tindakan sebegitu adalah satu tindakan yang tidak mencerminkan ilmu dan tinggi. Sepatutnya bagi mereka yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi tidak akan berbuat demikian, kerana sepatutnya mereka tahu bahawa tindakan tersebut adalah satu tindakan yang sia-sia. Sekali lagi, bangsa lain tergelak melihat kelakuan anak bangsa Melayu.

Perhimpunan yang dianjurkan itu adalah berkaitan dengan penghantaran memorandum bagi memansuhkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada pihak istana. Tetapi malangnya perhimpunan tersebut telah bertukar kepada perarakan besar-besaran. Inilah realiti kaum muda di Malaysia pada ketika ini, rata-rata hanya tahu mengikut sahaja tetapi tidak mengetahui apa-apa. Apabila ditanya kepada pihak penganjur, jawapan mudah dan selamat telah dilontarkan. Kata pihak yang berkenaan “ dalam perhimpunan tersebut, orang yang bertanggungjawab untuk menghantar memorandum tersebut hanyalah tujuh orang sahaja tetapi tidak tahulah bagamana boleh terjadi sedemikian. Ada pihak-pihak lain yang telah mengambil kesempatan terhadap perhimpunan tersebut bagi kepentingan politik mereka”. Persoalannya adakah betul mereka tidak tahu-menahu tentang perarakan tersebut? Betulkah terdapat pihak lain yang mengambil kesempatan? Siapakah pihak tersebut? Bersama-samalah kita fikirkan kesahihannya.

Pada umumnya program PPSMI dijalankan adalah untuk meningkatkan lagi kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar Melayu yang rata-rata telah ketinggalan di dalam bahasa Inggeris. Setelah enam tahun program tersebut dijalankan telah dapat dilihat peningkatan pengunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah. Ini dapat dibuktikan melalui statistik yang di keluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, di mana terdapat peningkatan yang memberangsangkan di dalam matapelajaran bahasa Inggeris. Ketika ini, di Malaysia kemampuan untuk berbahasa Inggeris adalah merupakan satu kemestian bagi membolehkan seseorang individu itu untuk mendapatkan kerja. Ini adalah kerana, kebanyakan syarat kelayakan bagi memohon sebarang kerja tidak kira di sektor swasta atau pun kerajaan, antara kriteria utama yang dinyatakan adalah bahasa Inggeris.

Sekiranya seseorang tidak tahu atau tidak fasih bertutur di dalam Bahasa Inggeris, bagaimana mereka akan diterima, terutamanya bagi kaum Melayu. Adakah selama-lamanya Melayu akan terus menganggur? Kalau tidak pun, adakah selamanya Melayu akan berada di bawah? Inilah yang dikatakan Melayu jumud, yang membangkang membabi buta tanpa melihat pada masa akan datang. Apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan adalah salah dan perlu dibangkang sekeras-kerasnya tanpa melihat apakah faedahnya (penulis bukanlah mengatakan apa yang dibawakan oleh kerajaan semua adalah yang baik, tetapi kita perlulah berfikiran matang dan melihat ke hadapan).

Di sini penulis ingin menegaskan pengunaan bahasa Inggeris bukan sahaja hanya berguna apabila hendak mencari kerja sahaja. Ia juga amat berguna kepada para pelajar melangkah ke alam universiti. Melalui pengalaman penulis sendiri, di universiti kebanyakan bahan rujukan yang digunakan adalah daripada tulisan-tulisan berbahasa Inggeris, tidak banyak bahan bacaan yang berbahasa Melayu. Kalau ada pun ia dalam bilangan yang terhad. Penulis berasa hairan, kenapa satu-satu dasar yang di rasakan perlu bagi membela masa depan anak bangsa sendiri dihalang, dibangkang. Terkadang, penulis juga pelik apabila mengetahui bahawa terdapat segilintir pelajar-pelajar universiti yang dapat mendapat tempat di dalam bidang-bidang yang memerlukan bahasa Inggeris yang kuat seperti Undang-undang tidak mempunyai asas atau tidak melepasi tahap minima peperiksaan bahasa Inggeris universiti (MUET). Suatu ketika penulis terperanjat apabila mengetahui terdapat ramai pelajar-pelajar daripada Fakulti Undang-undang tidak melepasi tahap minima syarat kelayakkan bahasa Inggeris bagi kursus tersebut bahkan terdapat juga dari kalangan mereka hanya mendapat tahap kelulusan MUET Band satu dan dua sahaja (namun begitu masih lagi berlagak hanya kerana mereka pelajar undang-undang).

Bukanlah penulis mengagung-agungkan bahasa barat dan meninggalkan bahasa Melayu, tetapi perlu diingatkan bahawa negara Malaysia pada zaman sekarang tidak seperti negara matahari terbit iaitu Jepun yang mempunyai kuasa ekonomi yang kuat dan kukuh dan boleh berdiri dengan sendiri. Sehinggakan mereka boleh mengunakan bahasa mereka sendiri di dalam apa-apa jua urusan mereka tanpa perlu bahasa asing. Malaysia kini masih perlu bergantung kepada negara-negara lain bagi memasarkan produk-produk kita. Bagi penulis golongan-golongan ‘jumud’ inilah yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai “Melayu Mudah Lupa”.

MELAYU YANG TIDUR

Arena politik di Perak boleh dikatakan telah mencapai kemuncaknya apabila telah berlakunya satu sejarah yang baru di mana sebuah kerajaan negeri yang baru di bentuk tidak sampai setahun telah runtuh akibat daripada permainan politik dalamannya sendiri. Rentetan peristiwa kejatuhan kerajaan pembangkang di Perak bermula apabila tiga orang ahli exco dewan undangan negerinya bertindak keluar daripada parti dan menjadi calon bebas. Ini di tambah lagi dengan tindakan daripada wakil rakyat Bota, Yang Berhormat Nasarudin bertindak untuk kembali ke pangkuan UMNO dan seterusnya memadamkan senyuman pihak pembangkang yang baru hendak ‘bertatih’ memerintah negeri.


Hari ini, sejarah sepuluh tahun yang lalu telah berulang kembali. Negera Malaysia yang sepatutnya aman damai telah dicemari oleh tindakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan titah Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah yang mahukan idola mereka iaitu Menteri Besar meletakkan jawatannya. Meskipun mereka tahu bahawa ‘idola’ mereka itu hanya sebagai ‘boneka’ yang tinggal di tengah-tengah pemain boneka. Pun begitu sang boneka juga tidak dapat menerima yang beliau telah kehilangan mahligainya sehinggakan sanggup membuang maruah dan perasaan malu dan bertindak untuk terus tinggal di mahligai yang telah membuangnya. Di manakan maruah sebagai seorang wakil rakyat, sebagai seorang pemimpin, bahkan sebagai seorang Melayu? Di manakah nilai dirinya sehinggakan sanggup menderhaka kepada Sultan sendiri. Itulah realiti melayu pada zaman sekarang, demi nama dan kuasa segala-gala sanggup dilakukan sehingga membelakangkan nilai-nilai murni masyarakat Melayu yang dulu diangkat tinggi. Di manakah sumpah taat setia kepada Sultan dan negeri yang telah dilaungkan?


Penulis begitu terperanjat dengan apa yang telah dipaparkan oleh media massa tentang senario yang telah berlaku di Perak. Rata-rata penyokong yang dipaparkan adalah terdiri daripada orang-orang Melayu tergamak melakukan perbuatan yang menghina dan menderhaka kepada Sultan sendiri. Di sebabkan oleh pemimpin meraka telah hilang kuasa mereka sanggup melakukan demonstrasi jalanan seperti itu. Jika dilihat dengan sekali imbas, senario seperti itu adalah seperti apa yang sering berlaku di negara-negara jiran seperti di Indonesia dan Thailand yang sememangnya terkenal dengan perkara seperti itu. Penulis sangat terperanjat dan tidak pernah terfikir sampai begini rendahnya tahap mentaliti dan biadap masyarakat Melayu.


Bangunlah dari tidur dan jangan jadi seorang Melayu yang bodoh. Bergaduh sesama kaum dan disaksikan oleh kaum lain. Sebagai sebuah masyarakat yang terkenal dengan budi bahasa yang baik, sepatutnya kita tolong-menolong untuk membangunkan bangsa dan kaum sendiri dan bukannya bergaduh sesama sendiri. Perbuatan ini hanya akan ditertawakan oleh kaum lain yang hanya melihat dari tepi. Di sini penulis juga mencadangkan supaya mana-mana individu yang cuba menentang dan mencabar Sultan perlu di tahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Jangan jadi Melayu yang bodoh.

Powered By Blogger

Followers

Beyond Perspectives © 2008. Blog design by Randomness