Sekadar Renungan...

Kita pasti dirisik.. Pertunangan sejak
azali.. Di hujung hidup nanti..
Berlangsungnya perkahwinanmu dengan
maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak
tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..

Bagaimana? Terasa hendak
menjadi 'pengantin'
tersebut? Marilah bersama muhasabah
diri. Kita hanya
insan, mudah terleka dek godaan
syaitan...

Wallahualam

Suara seorang pemuisi...hanapi jamaludin...

Pujangga bertinta dengan pena…


TANGISAN KUALA LUMPUR

Malam ini masih seperti semalam

Semalam dan sedekad yang silam

Kuala Lumpur ibuku

Menangis lagi

Masih belum hilang luka

Sendu hadir membawa bisa

Di titiwangsa yang damai

Tasik yang permai...

Airnya hanyir dengan bauran dosa

Di dasarnya tertanam pedih menerajang

Sehingga lemas zahirnya dalam

kotak realiti berkecamuk

kusut fikiran

walau jasadnya tenang dipermukaan

namun nalurinya merintih

rawan dalam pelukan bonda

KLCC yang megah menjulang

Malam ini kulihat dadamu berdarah

Pedih ditikam mercu sendiri

Engkau tunduk dalam neon yang malap

Mungkin malu menghadap penghadapan

Mungkin tersipu melihat

kealpaan...

Lorong-lorong Chow Kit yang bisu

perawanmu telah ternoda

kekasih malam yang tak setia

antara penjual angkuh dan pembeli bongkak

tegar beradu dalam lumpur kemaksiatan

berandamu menakung tangisan

tangisan mengendong penyesalan

Tuamu dipersia dalam perjalanan…

Bukit Bintang yang menggila

Binaan maujud dari batu neraka

Simbahan neon menerka mata

Lalu jeritan bargema…

Malam ini kau menjadi saksi

Tubuhmu tenggelam dalam perigi dosa…

Dataran Merdeka nan bergelora

Ada sembilu maha dalam

tertanam didadamu

ada berita dari angin pusara

menyampaikan pesan derita

singgah berlabuh di berandamu..

Duhai malam..

telah lama kau menjadi saksi

kepiluan ini

air mata bukan lagi harga kedewasaan

tangisan tidak bisa membayar kesedihan

bebaskan kota ini dari rantai yang membelenggu

kibarkan panji-panji dari hujung

air mata yang hilang…

Darwis...


Dari tinta air mata,

seorang pengunsi

Puisi dari sahabat

Puisi-puisi yang dicoretkan oleh seorang perjuang bangsa Melayu muda, Mohd Hanapi Jamaludin...
Hayatilah...


INSPIRASI DARI AMANI

Bahasa yang kian parah

Dengan budaya yang patah

Bangsa yang mudah mengalah

Dengan ideologi yang mentah

Sekalung piala menutup pintu bermula

Seucap tahniah tidak lagi menghantar

Jiwa pulang ke sawah

Malunya menjadi diri ini

Dengan darah pekat kemelayuan

Yang membuak

Mengalir membasahi tubuh…

Kemegahan silam menjadi rindu

Kedukaan hari ini menjadi tamu

Daerah ini menjerit

Membalas rintihan pujangga

Mergastua tersedu pilu

Sembilang merintih sayu

Kerbau di sawah tidak lagi mahu menguak

Tukul kehilangan bunyi

Kasturi tidak lagi mewangi

Wahai roh melayu silam

Bangkitlah mengisi jiwa-jiwa kosong

Bangsa yang kian pudar jati diri ini

Hembuskan udara dari kehijauan budaya

Tiupkan semboyan seteguh tugu berbahasa

Serulah kepulangan pengunsi-pengunsi ini

Pulang ke kota warisan

Biar mereka tahu

Biar dunia tahu

Biar semua tahu

Bangsaku bukan untuk dihina

Melayuku bukan untuk dicerca!!!

Darwis.

puisi mengenai orang-orang yang menidakkan bansa sendiri....
Pernah memenangi Pertandingan Hari Persuratan Melayu

PPSMI dan MJ

7 Mac 2009, sekali lagi Malaysia dikejutkan dengan perbuatan masyarakat Melayu yang ‘jumud’. Perhimpunan yang dikatakan akan dijalankan secara aman seperti yang dinyatakan oleh pihak penganjur ketika meminta permit daripada pihak berkuasa telah bertukar menjadi demonstrasi jalanan sehinggakan memaksa pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) bertindak melepaskan gas pemedih mata. Apa yang dapat diperhatikan oleh penulis, rata-rata yang turut serta di dalam perhimpunan “gergasi” tersebut adalah terdiri daripada golongan-golongan muda yang pada hemat penulis adalah penunut IPTA dan IPTS. Inilah yang dibangga-banggakan oleh mereka-mereka yang berkenaan yang mendakwa mereka adalah mahasiswa-mahasiswa yang telah bangun untuk menuntut hak mereka. Tetapi realitinya tindakan sebegitu adalah satu tindakan yang tidak mencerminkan ilmu dan tinggi. Sepatutnya bagi mereka yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi tidak akan berbuat demikian, kerana sepatutnya mereka tahu bahawa tindakan tersebut adalah satu tindakan yang sia-sia. Sekali lagi, bangsa lain tergelak melihat kelakuan anak bangsa Melayu.

Perhimpunan yang dianjurkan itu adalah berkaitan dengan penghantaran memorandum bagi memansuhkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada pihak istana. Tetapi malangnya perhimpunan tersebut telah bertukar kepada perarakan besar-besaran. Inilah realiti kaum muda di Malaysia pada ketika ini, rata-rata hanya tahu mengikut sahaja tetapi tidak mengetahui apa-apa. Apabila ditanya kepada pihak penganjur, jawapan mudah dan selamat telah dilontarkan. Kata pihak yang berkenaan “ dalam perhimpunan tersebut, orang yang bertanggungjawab untuk menghantar memorandum tersebut hanyalah tujuh orang sahaja tetapi tidak tahulah bagamana boleh terjadi sedemikian. Ada pihak-pihak lain yang telah mengambil kesempatan terhadap perhimpunan tersebut bagi kepentingan politik mereka”. Persoalannya adakah betul mereka tidak tahu-menahu tentang perarakan tersebut? Betulkah terdapat pihak lain yang mengambil kesempatan? Siapakah pihak tersebut? Bersama-samalah kita fikirkan kesahihannya.

Pada umumnya program PPSMI dijalankan adalah untuk meningkatkan lagi kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar Melayu yang rata-rata telah ketinggalan di dalam bahasa Inggeris. Setelah enam tahun program tersebut dijalankan telah dapat dilihat peningkatan pengunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah. Ini dapat dibuktikan melalui statistik yang di keluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, di mana terdapat peningkatan yang memberangsangkan di dalam matapelajaran bahasa Inggeris. Ketika ini, di Malaysia kemampuan untuk berbahasa Inggeris adalah merupakan satu kemestian bagi membolehkan seseorang individu itu untuk mendapatkan kerja. Ini adalah kerana, kebanyakan syarat kelayakan bagi memohon sebarang kerja tidak kira di sektor swasta atau pun kerajaan, antara kriteria utama yang dinyatakan adalah bahasa Inggeris.

Sekiranya seseorang tidak tahu atau tidak fasih bertutur di dalam Bahasa Inggeris, bagaimana mereka akan diterima, terutamanya bagi kaum Melayu. Adakah selama-lamanya Melayu akan terus menganggur? Kalau tidak pun, adakah selamanya Melayu akan berada di bawah? Inilah yang dikatakan Melayu jumud, yang membangkang membabi buta tanpa melihat pada masa akan datang. Apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan adalah salah dan perlu dibangkang sekeras-kerasnya tanpa melihat apakah faedahnya (penulis bukanlah mengatakan apa yang dibawakan oleh kerajaan semua adalah yang baik, tetapi kita perlulah berfikiran matang dan melihat ke hadapan).

Di sini penulis ingin menegaskan pengunaan bahasa Inggeris bukan sahaja hanya berguna apabila hendak mencari kerja sahaja. Ia juga amat berguna kepada para pelajar melangkah ke alam universiti. Melalui pengalaman penulis sendiri, di universiti kebanyakan bahan rujukan yang digunakan adalah daripada tulisan-tulisan berbahasa Inggeris, tidak banyak bahan bacaan yang berbahasa Melayu. Kalau ada pun ia dalam bilangan yang terhad. Penulis berasa hairan, kenapa satu-satu dasar yang di rasakan perlu bagi membela masa depan anak bangsa sendiri dihalang, dibangkang. Terkadang, penulis juga pelik apabila mengetahui bahawa terdapat segilintir pelajar-pelajar universiti yang dapat mendapat tempat di dalam bidang-bidang yang memerlukan bahasa Inggeris yang kuat seperti Undang-undang tidak mempunyai asas atau tidak melepasi tahap minima peperiksaan bahasa Inggeris universiti (MUET). Suatu ketika penulis terperanjat apabila mengetahui terdapat ramai pelajar-pelajar daripada Fakulti Undang-undang tidak melepasi tahap minima syarat kelayakkan bahasa Inggeris bagi kursus tersebut bahkan terdapat juga dari kalangan mereka hanya mendapat tahap kelulusan MUET Band satu dan dua sahaja (namun begitu masih lagi berlagak hanya kerana mereka pelajar undang-undang).

Bukanlah penulis mengagung-agungkan bahasa barat dan meninggalkan bahasa Melayu, tetapi perlu diingatkan bahawa negara Malaysia pada zaman sekarang tidak seperti negara matahari terbit iaitu Jepun yang mempunyai kuasa ekonomi yang kuat dan kukuh dan boleh berdiri dengan sendiri. Sehinggakan mereka boleh mengunakan bahasa mereka sendiri di dalam apa-apa jua urusan mereka tanpa perlu bahasa asing. Malaysia kini masih perlu bergantung kepada negara-negara lain bagi memasarkan produk-produk kita. Bagi penulis golongan-golongan ‘jumud’ inilah yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai “Melayu Mudah Lupa”.

MELAYU YANG TIDUR

Arena politik di Perak boleh dikatakan telah mencapai kemuncaknya apabila telah berlakunya satu sejarah yang baru di mana sebuah kerajaan negeri yang baru di bentuk tidak sampai setahun telah runtuh akibat daripada permainan politik dalamannya sendiri. Rentetan peristiwa kejatuhan kerajaan pembangkang di Perak bermula apabila tiga orang ahli exco dewan undangan negerinya bertindak keluar daripada parti dan menjadi calon bebas. Ini di tambah lagi dengan tindakan daripada wakil rakyat Bota, Yang Berhormat Nasarudin bertindak untuk kembali ke pangkuan UMNO dan seterusnya memadamkan senyuman pihak pembangkang yang baru hendak ‘bertatih’ memerintah negeri.


Hari ini, sejarah sepuluh tahun yang lalu telah berulang kembali. Negera Malaysia yang sepatutnya aman damai telah dicemari oleh tindakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan titah Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah yang mahukan idola mereka iaitu Menteri Besar meletakkan jawatannya. Meskipun mereka tahu bahawa ‘idola’ mereka itu hanya sebagai ‘boneka’ yang tinggal di tengah-tengah pemain boneka. Pun begitu sang boneka juga tidak dapat menerima yang beliau telah kehilangan mahligainya sehinggakan sanggup membuang maruah dan perasaan malu dan bertindak untuk terus tinggal di mahligai yang telah membuangnya. Di manakan maruah sebagai seorang wakil rakyat, sebagai seorang pemimpin, bahkan sebagai seorang Melayu? Di manakah nilai dirinya sehinggakan sanggup menderhaka kepada Sultan sendiri. Itulah realiti melayu pada zaman sekarang, demi nama dan kuasa segala-gala sanggup dilakukan sehingga membelakangkan nilai-nilai murni masyarakat Melayu yang dulu diangkat tinggi. Di manakah sumpah taat setia kepada Sultan dan negeri yang telah dilaungkan?


Penulis begitu terperanjat dengan apa yang telah dipaparkan oleh media massa tentang senario yang telah berlaku di Perak. Rata-rata penyokong yang dipaparkan adalah terdiri daripada orang-orang Melayu tergamak melakukan perbuatan yang menghina dan menderhaka kepada Sultan sendiri. Di sebabkan oleh pemimpin meraka telah hilang kuasa mereka sanggup melakukan demonstrasi jalanan seperti itu. Jika dilihat dengan sekali imbas, senario seperti itu adalah seperti apa yang sering berlaku di negara-negara jiran seperti di Indonesia dan Thailand yang sememangnya terkenal dengan perkara seperti itu. Penulis sangat terperanjat dan tidak pernah terfikir sampai begini rendahnya tahap mentaliti dan biadap masyarakat Melayu.


Bangunlah dari tidur dan jangan jadi seorang Melayu yang bodoh. Bergaduh sesama kaum dan disaksikan oleh kaum lain. Sebagai sebuah masyarakat yang terkenal dengan budi bahasa yang baik, sepatutnya kita tolong-menolong untuk membangunkan bangsa dan kaum sendiri dan bukannya bergaduh sesama sendiri. Perbuatan ini hanya akan ditertawakan oleh kaum lain yang hanya melihat dari tepi. Di sini penulis juga mencadangkan supaya mana-mana individu yang cuba menentang dan mencabar Sultan perlu di tahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Jangan jadi Melayu yang bodoh.

Powered By Blogger

Followers

Beyond Perspectives © 2008. Blog design by Randomness