Demokrasi Tak Matang Dan Kuasa Masyarakat Sivil

Apa itu masyarakat sivil? Mengikut Edward (2004), masyarakat sivil adalah merupakan ruang yang wujud diantara pihak kerajaan dan rakyat biasa. Ruang ini dikenali sebagai ruang awam. Masyarakat sivil ini dikatakan amat penting di dalam menjaga kepentingan negara. Ia dikatakan sebagai “watchdog” atau pemerhati kepada tindak tanduk pihak kerajaan. Ia juga dikatakan sangat penting kepada sesebuah negara kerana dianggap sebagai pengimbang kepada pihak kerajaan. Kenyataan-kenyataan ini memang tidak dapat disangkalkan kerana golongan masyarakat sivil atau NGO amat penting kerana ia adalah merupakan saluran bagi memperjuangkan hak rakyat. Konsep masyarakat sivil ini telah digunakan dengan meluas sebagai konsep deskriptif untuk menilai keseimbangan antara kuasa negara dan persatuan atau badan persendirian. Bagi tradisi liberal, masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu. Ernest Gellner pula memberikan takrifan bahawa masyarakat sivil sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai institusi bukan pemerintah yang cukup kuat untuk mengimbangi negara. Walaupun ia bukan bertujuan menghalang negara memenuhi dan melaksanakan peranannya sebagai penjaga keamanan dan keselamatan serta bertindak sebagai hakim atau pengadil antara negara dan rakyat, masyarakat sivil tetap dapat menghalang usaha-usaha mendominasi warganya. Gerakan masyarakat sivil juga dikenali sebagai saluran penyertaan rakyat dalam pelbagai perkara seperti politik, sosial dan ekonomi selain mampu memberi kesan kepada hubungan kerajaan dan rakyat.

Bagi sesebuah negara yang matang seperti Amerika Syarikat yang mana demokrasinya dikatakan sebagai demokrasi yang matang, masyarakat sivil ini dapat berkembang dengan sangat subur dan baik. Rakyat negara tersebut dapat melontarkan apa yang mereka rasakan dengan aman dan tenteram tanpa berlaku apa-apa pun. Salah satu daripada faktornya adalah berkaitan dengan tahap keintelektualan rakyat di negara itu sendiri yang mana mereka memahami batas-batas penentangan yang mereka boleh lakukan. Tidak seperti di negara-negara sedang membangun, kehadiran golongan masyarkat sivil ini jika tidak dikawal dengan baik ia boleh menimbulkan satu keadaan yang huru hara. Sebagai bukti, kita boleh melihat keadaan semasa yang berlaku di negara jiran kita iaitu Thailand. Akibat kuasa suara masyarakat sivil yang terlalu kuat dan tanpa kawalan ia telah menimbulkan satu keadaan yang sangat teruk. Buat pertama kali di dalam sejarah persidangan agung negara-negara ASEAN terpaksa dibatalkan dan ditunda ke satu tarikh yang lain akibat kekacauan yang berlaku di sebabkan oleh golongan ini. Sejarah Thailand itu sendiri telah menunjukkan betapa suara masyarakatnya sangat berpengaruh. Dalam tempoh beberapa dekad mereka mengamalkan pemerintahan berparlimen, sudah ramai PM yang dilantik dan dalam masa yang sama juga telah banyak perlembagaan persekutuannya terpaksa digubal semula (Thailand boleh dikatakan sebagai pemegang rekod negara yang mempunyai paling banyak Perlembagaan Persekutuan). Bayangkanlah dalam setahun sahaja sudah ada tiga individu yang memegang jawatan tertinggi di dalam kerajaan di Thailand. Ini menunjukan bahawa suara rakyat di negara tersebut adalah sangat kuat dan berpengaruh sehinggakan mampu mengubah pentadbiran negara. Dari satu sudut, perkara ini boleh dikatakan sangat bagus, tetapi dari satu sudut yang lain pula, perkara ini adalah sesuatu yang negatif dan sangat meruncing serta memalukan pentadbiran negara tersebut.

Persoalannya, bilakah perkara ini akan berakhir? Boleh dilihat, setiap pemimpin yang naik memegang tampuk pemerintahan negara pasti akan ditentang oleh rakyat. Tidak ada satu pun yang dapat memuaskan hati rakyat di negara tersebut. Setiap pemimpin yang naik, pasti ada sahaja rusuhan yang berlaku dan terbaru rusuhan yang berlaku menentang tampuk pemerintahan Abishit yang telah mengorbankan tiga nyawa dan ratusan yang cedera. Perkara ini pada pandangan penulis adalah sangat memalukan bahkan telah berlaku buat pertama kali dalam sejarah Asean, persidangan terpaksa dibatalkan. Dengan keadaan yang begini, bilakah negara akan maju? Tidak kira dari aspek apa pun, ekonomi, politik, dan pembangunan tidak akan menjadi maju. Negara akan terus terkebelakang dan bukan ke depan. Perkara ini bukan sahaja ditujukan di Thailand sahaja bahkan kepada mana-mana negara sedang membangun termasuklah Malaysia, jika tidak ada sebarang tembok yang boleh menghalang perkara sebegini negara akan terus mundur dan kembali dijajah.

Senario di Malaysia tidak kurang hebatnya juga, sejak akhir-akhir ini dapat dilihat rakyat mula keluar beramai-beramai melakukan demostrasi jalanan. Katanya, hendak menegakkan hak mereka. Tetapi, apa yang dapat diperhatikan oleh penulis perbuatan kumpulan manusia ini tidak ubah seperti kumpulan yang tidak bertamadun. Dikatakan juga terdapat ramai kumpulan-kumpulan yang berintelektual, golongan yang mengikuti kursus pelajaran di peringkat yang tinggi, atau dengan kata mudah mereka yang belajar di universiti. Malangnya tindakan mereka ini tidak menggambarkan tahap keintelektualan yang tinggi. Terpekik-pekik menyumpah, memaki, mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya. Adakah ini yang dikatakan orang berintelektual? Mereka yang berpelajaran tinggi? Dan amat menyedihkan adalah mereka yang mengadakan tunjuk perasaan seperti itu adalah terdiri daripadda orang MELAYU. Sepatutnya mereka perlulah meluahkan pendapat, pandangan atau apa-apa yang mereka tidak setuju dalam saluran yang betul. Bukan mengadakan tunjuk perasaan seperti itu. Itu bukanlah tindakan yang orang yang berilmu. Fikir-fikirkanlah, jika mahu terus melihat bangsa kita dihina dan ditertawa, jika hendak melihat negara kita mundur, teruskanlah dengan perbuatan yang seperti itu.

Tahniah Datuk Seri Najib atas perlantikan sebagai Perdana Menteri KeEnam

Ucapan sulung Perdana Menteri keenam

Perutusan sempena penerimaan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6

Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen YABhg. Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah.

Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan YABhg. Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.

Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanah tanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara.

Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya.

Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.

Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global.

Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.

Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu.

Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.

Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar serta membebaskan TIGA BELAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA berkuat kuasa serta-merta. Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan.

Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Dengan ini saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini.

Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini - bersama sama.

Datuk Seri Najib Tun Abd Razak
Powered By Blogger

Followers

Beyond Perspectives © 2008. Blog design by Randomness