Nilai Rasa Hormat MIC

Sememangnya ada percambahan kepelikan dalam budaya masyarakat Malaysia. Kalau dulu tanpa mengira kaum dan agama ada segan silu dan rasa hormat, tetapi kini nilai-nilai itu semakin menyusut.

Penyusutan nilai itu boleh dilihat pada hari terakhir Perhimpunan Agung MIC Ke-63 kelmarin. Seorang perwakilan mencadangkan “kalung selipar” pada gambar Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kebiasaannya, tradisi masyarakat India adalah mengalungkan bunga malai sebagai penghormatan baik kepada orang perseorangan mahupun pada gambar.

Tetapi kali ini tradisi yang ditawarkan amat menyongsang dan umpama idea orang yang hilang akal.

Bagi “menghormati” dan “menghargai” jasa bekas Perdana Menteri, perwakilan itu mahu “kalung selipar” diletak pada gambar beliau.

Semuanya itu gara-gara kenyataan Dr Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.

Biar pun cadangan itu tidak mendapat sokongan tetapi cetusan idea perwakilan dari Ampang, M. Muniandy cukup untuk menggambarkan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Betapa ada riak kekebalan dalam nada ucapan perwakilan itu. Ada juga unsur angkuh di situ.

Paling jelas ada suara biadab yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.

Beliau tidak boleh menerima rumusan Dr Mahathir yang Samy Vellu tidak pernah membuat apa-apa untuk kesejahteraan kaum India di negara ini.

Bagi Muniandy, Dr Mahathir adalah orang luar yang tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan MIC.

Bekas Perdana Menteri itu juga diselar kerana menegur pemimpin parti itu yang dikategorikan oleh perwakilan berkenaan sebagai seorang yang bijak untuk memimpin parti dengan cara yang baik.

Lebih menarik perhatian, perwakilan yang boleh saja dikatakan “peminat setia” Samy Vellu memberikan satu perbandingan melampau.

Bekas Menteri Kerja Raya itu disamakan dengan “pokok ara” dengan akar yang teguh dan tidak akan berganjak walaupun ditiup angin kencang.

Justeru gambar orang yang cuba menggoncang pokok ara itu selayaknya dikalungkan dengan kasut lantaran wujudnya dua darjat di situ – yang pertama sungguh mulia, manakala yang keduanya berada pada kasta yang amat rendah.

Manakala MIC pula seolah-olah parti yang sangat berjaya dan cemerlang pencapaiannya sehingga tidak boleh disentuh atau ditegur. Pemimpinnya juga disifatkan sebagai penyelamat dan pengawal masyarakat India di negara ini.

Sedangkan semua orang tahu di mana kedudukan parti itu sekarang terutama apabila memperkatakan tentang meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Semua orang tidak lupa apa puncanya pertubuhan haram Hindraf ditubuhkan. Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati kaum itu terhadap prestasi Samy Vellu yang menyebabkan golongan kaya semakin kaya dan yang miskin terus merempat.

Terlekat di fikiran semua orang bagaimana penolakan pengundi-pengundi India terhadap kepimpinan sedia ada semasa pilihan raya umum Mac tahun lalu sehingga parti itu mencatatkan pencapaian terburuk dalam rekod pilihan rayanya.

Samy Vellu antara nama yang tewas.

Banyak orang India mendendangkan keluhan mereka – betapa bertahun-tahun dinaungi pemimpin yang seorang itu, tiada kemajuan atau peningkatan taraf hidup yang ketara boleh dilihat.

Sepatutnya acara terbesar yang menghimpunkan masyarakat India di negara ini dari sudut politik menjadi medan untuk muhasabah diri, mengingatkan setiap pemimpin parti itu bahawa jangka hayat mereka tidak lama.

Kini ada Parti Keadilan Rakyat yang menawarkan tempat untuk orang India, ada juga Hindraf yang sering menjadi rujukan masyarakat itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Tidak mustahil jika kebiadaban seperti yang ditunjukkan Muniandy dibiarkan begitu sahaja, nama MIC akan luput dari kamus pilihan raya Malaysia.

Hasrat untuk merealisasikan harapan bahawa MIC adalah mengenai masa depan kaum India mungkin tinggal mimpi jika ahli-ahli lepas laku dan tiada rasa hormat kepada pemimpin dibiarkan menjadi api dalam sekam.

Hakikatnya cadangan perwakilan Ampang itu seharusnya dipandang serius oleh Presiden MIC itu sendiri.

Tindakan Samy Vellu mengulas teguran Dr Mahathir juga merupakan satu kesilapan awal yang dilihat menjadi punca ahlinya mendapat keberanian untuk mengemukakan cadangan kurang ajar itu.

Sebab itu apa yang berlaku di hari terakhir perhimpunan mesti menjadi pengajaran. Sebagai pemimpin yang dipercayai sarat dengan pengalaman dalam bidang politik, percaturan bekas Menteri Kerja Raya dalam menangani kemelut politik dalaman MIC tidak mudah.

Beliau sepatutnya bijak mengatur strategi, memelihara kesopanan dan kesusilaan serta menjaga hubungan akrab sesama parti komponen BN dengan “menenangkan” teguran Dr Mahathir itu.

Bukankah pemimpin veteran MIC yang satu masa dahulu bersedia “sehidup semati” dengan Dr Mahathir sangat masak dengan ketelusan bekas Perdana Menteri ketika melontarkan kata-katanya.

Justeru sepatutnya isu teguran itu boleh diatasi umpama menarik benang dalam tepung, tepung jangan berselerak dan benang jangan putus.

Dan dalam kes teguran Dr Mahathir biar pun dilihat sangat pedas tetapi sepatutnya diambil pengajaran daripadanya dan pada masa yang sama ahli-ahli parti diberi peringatan supaya tidak bertindak balas mengikut kata hati yang akhirnya boleh membawa “mati”.

Hakikatnya Dr Mahathir sangat arif dan mempunyai alasan terbaik untuk membuat kesimpulan seperti yang dilontarkan tempoh hari.

Bekas Perdana Menteri itu mengetahui siapa Samy Vellu yang bertahun-tahun berada dalam barisan Kabinetnya. Beliau semestinya tahu apa yang telah dibuat oleh pemimpin itu untuk masyarakat India sejak puluhan tahun lalu. Beliau juga tahu apa yang tidak dibuat oleh Samy Vellu sepanjang tempoh tersebut.

Paling penting masyarakat India tahu segala-galanya tentang progres kehidupan mereka di bawah naungan “pokok ara” itu.

Dan pengetahuan itu tidak selayaknya disusuli dengan kenyataan sangat biadap yang berkumandang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.

Biar pun Samy Vellu berjanji akan mengenakan tindakan terhadap Muniandy, namun ada tanggungjawab yang lebih besar mesti dilakukan.

Berkata benar kepada ahli-ahli parti, berkhidmat untuk parti dan jika terbukti tidak lagi mampu memimpin parti maka berundurlah. Masyarakat India mahu perubahan dan perubahan itu bukan lagi di bawah “pokok ara”.

Tidakkah mereka sedar pokok ara itu hakikatnya semakin dimakan anai-anai lantaran tegaknya ia sejak berpuluh tahun lalu tidak lagi dapat memberi manfaat kepada sesiapa.

Noraini Abd Razak

Dipetik dari Utusan Malaysia 15 September 2009
Sindrom taksub, fanatisme orang Melayu

Oleh Feriz Omar

MASIH ingatkah kisah kumpulan Al-Arqam yang pernah menggemparkan negara sekitar awal 1990-an dahulu? Kalau nak diikutkan, asal ceritanya bermula dengan seorang ustaz biasa yang giat berdakwah.

Saban hari, fahaman itu berkembang membentuk suatu kumpulan agama yang besar dan memiliki entiti perniagaan dalam pelbagai bidang.

Akhirnya pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad langsung lupa daratan, tenggelam dalam kekuasaan dan mula menyerong daripada akidah Islamiah sebenar. Ashaari mula menjadi idola puluh ribuan pengikutnya dan dianggap wali yang cukup tinggi tarafnya.

Tulisan hari ini sebenarnya bukanlah hendak merungkai isu Al-Arqam. Tetapi yang mahu diperhalusi dan dibicarakan ialah sentimen dan elemen ‘fiil’ Melayu bila mana ia terlalu taksub dalam satu-satu hal.

Dalam konteks Al-Arqam ini misalannya, ketaksuban yang tak kena gaya, tidak berpandukan ilmu dan asas Islam yang hakiki menyebabkan penyelewengan berlaku.

Akhirnya pemimpin pula didewa-dewakan, dipuja dan dihormati secara melampau. Kumpulan yang didokong pula bagai dapat merealisasikan segala-gala hajat dan diumpamakan tiada cacat-cela.

Taksub Berpolitik

Kalau dikaitkan dengan suasana berpolitik orang Melayu sendiri, macam itu jugalah perangai ketaksubannya. Sesetengahnya, bila sudah terlampau fanatik dan percaya dengan parti yang disokong, rasional daripada parti lawan ditolak mentah-mentah.

Sifat, “aku saja betul” dan “kau tetap salah” mewarnai semangat dan kepercayaan politik. Tuduh-menuduh menjadi kebiasaan dengan isu halal-haram dan betul-salah sudah bukan lagi asas pertimbangan. Asalkan yang disokong menang!

Lebih parah sebenarnya, bila adunan politik itu disadur pula dengan kepentingan Islam. Seperti yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam; dan orang Melayu adalah contohnya paling tepat yang mudah tertarik dalam hal-hal berunsur keagamaan.

Yang jadi mangsa adalah pengikut yang mempunyai kefahaman agama setakat ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Gara-gara kecetekan ilmu, mereka ini sering hilang punca dan selalu berdasarkan sentimen perasaan dalam pertimbangan antara hak dan yang batil serta bersikap tertutup dalam menerima buah fikiran yang dilihat berasal daripada kelompok lain.

Bila asas agama digunakan untuk membuktikan betul-salah sesuatu perkara, soal dosa pahala, kafir dan syurga-neraka pun menjadi isu yang terbeban untuk dibicarakan dan dihukum oleh sang pengikut. Inilah yang malangnya; menghukum dan membuat kesimpulan tanpa ilmu di dada!

Perdebatan Mengarut dan Tidak Berfaedah

Isu di sini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memisahkan entiti agama daripada politik. Agama Islam sememangnya syumul atau ‘complete’. Namun, asas agama tentulah wajib dijadikan pegangan setiap insan politik yang bernama ‘Melayu’ dan berjatidirikan ‘Islam’.

Tetapi dalam suasana hiruk-pikuk dan kecelaruan kefahaman Islam yang setakat ‘separuh masak’ saja di kalangan ramai Muslimin di Malaysia, perlu ada boundary tertentu agar agama tidak sampai terseleweng dan disalah tafsir.

Oleh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau sesebuah pertubuhan, hari ini Islam dilihat lebih cenderung ke arah menilai tahap keimanan, mencari perbezaan fahaman imam yang diikuti dan menilai tahap roh perjuangan sehingga menjadikan umat Islam berpecah-belah.

Kita sepatutnya mencari persamaan dan elakkan perbezaan. Begitu banyak perdebatan dan perbalahan yang sudah sampai ke tahap mengarut dan tidak berfaedah.

Justeru itulah, Islam memerangi kejahilan ilmu kerana akibat buruknya mampu melahirkan manusia bersifat taksub membabi-buta. Ketaksuban juga akan memecah-belahkan umat Islam bahkan menjahanamkan hubungan silaturrahim sesama Muslim.

Paling buruk, apabila ia mula menganggu-gugat keamanan dan kestabilan sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Orang-orang bukan Islam akan merasa salah faham dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.

Kembalilah kepada asas al-Quran yang menyarankan kepentingan ilmu supaya kita tidak terperangkap dalam ketaksuban fanatisme dan membuta-tuli yang menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara tercinta.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan

Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Dipetik dari Utusan Malaysia, 15 September 2009

KACANG…

Kacang pada awalnya adalah merupakan seorang yang tidak mempunyai apa-apa. Tetapi beliau telah diambil oleh seorang lelaki yang memrintah negeri tempat dia tinggal sebagai anak angkat. Lelaki tersebut bernama Kulit. Kacang telah dijaga dan dipupuk oleh Kulit ibarat menjaga anaknya sendiri. Sehingga Kacang mendapat tempat dan menjadi orang penting di negeri tersebut. Setelah sekian kian lama hidup di negeri tersebut, Kacang mula lupa diri. Dan apabila Kulit telah hilang kuasanya di negeri tersebut, Kacang mula berlagak seperti pokok ara besar yang kononnya tidak akan akan tumbang hatta di landa taufan sekalipun. Segala jasa Kulit yang menjaga Kacang dari tidak mempunyai apa-apa, dari hidup merempat di negeri tersebut, dari begelumang dengan bau busuk, sehingga dia mendapat tempat di negeri itu, sehingga dia mempunyai kepentingan di sana terus sahaja dilupakan. Ibarat Kulit tidak mempunyai apa-apa jasa kepada dia. Sehinggakan apabila Kulit bersuara, dengan anggkuh Kacang terus sahaja membantah dan menghina pemimpin tersebut tanpa rasa bersalah. Seolah-olah, pemimpin itu tidak pernah menabur bakti kepadanya sebelum ini. Itulah Kacang, yang telah melupakan kulitnya yang selama ini telah menjaganya dari segala ancaman dan bencana, dan apabila kulit itu sudah tiada nilainya terus sahaja dilupakan…

Itulah perwakilan MIC, mereka telah lupa jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Tun Dr. Mahathir kepada masyarakat India secara amnya dan kepada Dato’ Seri Samy Vellu secara khususnya. Tergamak perwakilan dari parti komponen tersebut yang merupakan kaum minoriti menghina seorang negarawan yang telah banyak menabur bakti kepada negara, dan yang telah membantu membanggunkan masyarakat India dengan kenyataan begitu. Atau, adakah tradisi memberi kalungan bunga sebagai tanda hormat di kalangan masyarakat India di negara ini telah berubah kepada memberikan kalungan selipar? Cuba kenang kembali di manakah kaum India lebih dua dekad yang lalu? Atau lebih khusus dimanakah Datuk Seri Samy Vellu (yang diibaratkan sebagai pokok ara besar oleh perwakilan tersebut) pada lebih 20 tahun yang lalu? Kalau bukan Tun yang menjaga mereka, yang menaburkan bakti membangunkan taraf hidup mereka. Perlu diingat, Tun adalah seorang negarawan yang sangat berpengaruh, nama beliau dikenali di serata dunia. Sudah tentulah ada sebabnya beliau menyarakan pendapat beliau dan sekiranya tidak bersetuju sekalipun ada salurannya, dan tidak dilarang hendak membantah tetapi bukannya dengan cara menghina. Perlu diingat juga Tun adalah nama besar di dalam UMNO, dan merupakan orang Melayu, menghina beliau seolah-olah mencabar orang Melayu. Jangan menyemarakkan lagi api perkauman di negara ini. Dan jangan mencabar orang Melayu. BN perlu bertegas dalam hal ini, kerana ini boleh menjadi punca kekalahan kepada parti, dan MIC khususnya perlu bertegas kepada perwakilan tersebut, tindakan disiplin perlu diambil.

Nilai 1Malaysia yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan sekarang ini akan gagal jika semua pihak di dalam BN terus-menerus begini, semangat perkauman tidak akan dapat dikikis, dan nilai negara bangsa yang ada di dalam gagasan 1Malaysia perlu dipelajari oleh pemimpin itu sendiri terutamanya parti komponen BN sebelum diterapkan kepada rakyat...

Powered By Blogger

Followers

Beyond Perspectives © 2008. Blog design by Randomness