PKR oh PKR....

Retak semakin terbelah

Terlalu banyak perkara berlaku kebelakangan ini yang memberikan gambaran bahawa pakatan pembangkang agak exhausted (kekeringan dan lemas), burned out (kepupusan semangat) dan tenggelam punca dalam menawarkan alternatif lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Bukan setakat spill over (limpahan) atau out of the cup, tetapi air yang menggelegak panas menimbulkan keretakan-keretakan kecil yang akhirnya akan memecahkan cawan tersebut. Inilah analoginya.

PR sudah ketandusan isu, mereka ibarat meraba-raba di dalam air yang cetek. Mereka cuba mencari satu formula mujarab untuk diketengahkan kepada rakyat bahawa merekalah government in-waiting.

Politikus mereka bermundar-mandir ke hulu ke hilir bagai pendeta yang sudah kehabisan sakti, kerana kalimat jampian dan mantera mereka sudah tidak menjadi. Pisau yang diacukan kepada BN nampaknya memakan dan menikam diri sendiri.

Di dalam pakatan pembangkang, rakan kongsi sudah menjadi hang-overs (beban tanggungan) dan liabiliti, bukan aset yang memperkuatkan diri. 'Kahwin kerana selesa' (marriage of comfort) sudah menampakkan bibit-bibit pertelagahan dan di ambang perceraian. Mereka sudah tidak sehaluan, mengeluarkan kata-kata yang penuh dengan kontradiksi dan konflik. Sudah tidak sepeluh dan sebulu; yang A mengeluarkan toksik manakala yang B pula mengeluarkan radikal bebas. Dua-dua berpenyakit dan berada di pintu gerbang perpecahan.

Pelbagai isu menghantui mereka; dari konspirasi hingga masalah kompromi, dari negara Islam hingga kepada penggunaan kalimah Allah; dari multi-rasialisme kepada cauvinisme, dari pemerintahan ala Umar Abdul Aziz hinggalah kepada isu diktator dan komunisme. Segala- galanya berada dalam paradoks - akan bertembung dan meletup pada bila-bila masa sahaja. Ini bukan retak menanti belah, tetapi retak terus pecah dan hancur berantakan.

Persefahaman yang dibuat pada peringkat awal memang nampak meyakinkan sesuai dengan slogan manifesto pilihan raya mereka: 'Harapan Baru Untuk Malaysia'. Mereka menabur janji dan menyemai harap di kalangan rakyat jelata untuk menukar kerajaan dan meminta rakyat memberikan mereka peluang untuk berkuasa.

Peluang untuk berkuasa dalam erti kata peluang untuk meratakan keadilan, peluang untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat, peluang samarata dari segi kek ekonomi tanpa mengira kaum, peluang menikmati pentabdbiran yang bebas rasuah, tiada cukai yang membebankan, pembasmian gejala sosial, pemimpin berjiwa marhaen, perkhidmatan pendidikan dan perubatan percuma dan seterusnya. Betapa indahnya kerajaan kayangan Malaysia. Realitinya apa?

Formula

Berbeza dengan formula Parti Perikatan tentang perkongsian kuasa dan legasi itu disambung kemudiannya oleh BN, para pemimpin pada ketika itu bijak mengukur jarak dan mengatur gerak. Dasar digubal dan rancangan dibentangkan untuk kemashlahatan rakyat seluruhnya tanpa mengira kaum. Masing-masing ada kurang lebihnya. Ada prinsip-prinsip yang memandu (guiding principles) untuk mensejahterakan rakyat. Duduk-letaknya tiap-tiap kaum disusun berdasarkan realiti sejarah. Semangat give and take (memberi dan menerima) menjadi pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara. Formula penyatuan BN telah diuji oleh sejarah dan mampu bertahan hingga ke hari ini.

Berbanding dengan BN, pakatan pembangkang sarat dengan masalah. Episod cabar mencabar, berpatah arang berkerat rotan, marahkan nyamuk kelambu dibakar sudah menjadi lumrah pemimpin pembangkang. Senario itu bertambah menarik apabila ada kalangan mereka keluar parti dan menyatakan secara terbuka menyokong kerajaan BN.

Tidak sampai setahun umur pemerintahan pakatan pembangkang yang diterajui Pas di Perak, tiga ADUN mereka mengisytiharkan keluar dari pakatan dan menyokong BN.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menyelar Ketua Menteri, Lim Guan Eng seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis. Ketidakpuasan hatinya diluahkan apabila beliau melihat kepentingan orang Melayu di Pulau Pinang seolah-olah tidak menjadi agenda utama kerajaan negeri dan Melayu dipinggirkan. Beliau menuduh Ketua Menteri duduk dalam Lembaga Tender dan menentukan siapa yang akan mendapat kontrak. Bukankah ini juga kronisme?

Diikuti pula oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang menuduh Ketua Menteri mengamalkan pemerintahan kuku besi dan cara pentadbirannya menyebabkan masyarakat Cina berpecah-belah. Kedua-duanya kini menjadi ahli Parlimen Bebas.

Rentetan dari pergolakan hangat ini, bekas Timbalan Ketua Menteri, Mohamad Fairuz Khairuddin mengisytiharkan keluar dari PKR dan menyertai UMNO.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Seputeh juga dikatakan menimbulkan isu-isu yang kontroversi khususnya menyangkut sensitiviti umat Islam dan orang Melayu.

Isu penjualan arak secara terbuka juga menjadi medan pertikaian sesama ADUN pakatan pembangkang. Mereka tampak menari dengan tempo yang sumbang dan lenggok yang beragam. Yang satu melangkah ke utara, manakala yang satu lagi menggoyang dan melintuk ke arah selatan.

Dalam isu penggunaan kalimah Allah, kita melihat perbezaan yang begitu ketara di antara Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang mewakili PKR dengan Ahli Parlimen Shah Alam yang mewakili PAS. Isu ini sudah sampai ke peringkat untuk dibawa ke muka pengadilan.

Begitu juga apabila kita meneliti dasar yang menjadi kerangka perjuangan ketiga-tiga parti yang menganggotai pakatan pembangkang. Pas dan DAP jelas memperlihatkan pertentangan yang bersifat fundamental, manakala PKR pula tumbuh dan berkembang dari asas hero-worship yang telah disintuk-limau tanpa dasar kukuh yang menunjangi perjuangan para pengikutnya.

Pada suatu ketika dahulu, Pas nyata tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tentang dasar mereka yang hendak menubuhkan sebuah Daulah Islamiyah, tentang hudud dan seumpamanya.

Berjuang

Sementara itu pula, DAP yang berjuang di atas dasar multi racialism (kononnya, kerana keanggotaan partinya sendiri memperlihatkan betapa cauvinisnya mereka) awal-awal lagi sudah menyatakan pendirian untuk tidak akan bertolak ansur dengan penubuhan sebuah negara Islam sehingga pernah kedengaran salah seorang pemimpinnya mengatakan 'over my dead body' bagi menunjukkan betapa benar-benar 'they mean business' sekiranya PAS tidak berganjak dari dasar tersebut.

Namun, ironinya, bekas Menteri Besar Perak kerajaan pakatan pembangkang dalam DUN Perak bertarikh 23 Jun 2008 pernah mencabar BN supaya mengemukakan apa-apa bukti bertulis sebagai termaktub di dalam Perlembagaan atau dokumen rasmi Pas yang menyatakan bercita-cita hendak menubuhkan sebuah negara Islam.

Lagi memelikkan apabila Murshidul Am PAS menutup pintu untuk bermuzakarah atas isu perpaduan dan kepentingan umat Islam dengan UMNO.

Bukankah senarai percanggahan ini memeningkan kepala rakyat dan memperlihatkan betapa huru-haranya motif persekongkolan mereka? Sasaran mereka hanya untuk menafikan majoriti dua pertiga BN atau menumbangkan kerajaan BN, walau atas alasan apa sekalipun. Walau rakyat yang bakal menjadi mangsa.

Apabila tidak berlakunya keseragaman antara prinsip dan dasar perjuangan serta kaedah berpolitik, apatah lagi ketiga-tiga parti yang menganggotai PR mempunyai sejarah penubuhannya yang berbezabeza, ia tentu akan menyulitkan usaha-usaha untuk memupuk persefahaman yang berpanjangan.

Tanpa persefahaman tidak mungkin agenda rakyat terbela dan menjadi keutamaan mereka. Ketiga-tiga parti walau nampak tidur sebantal, tetapi mimpi mereka adalah berlainan, malah ada senjata yang diletakkan di bawah bantal masing-masing untuk digunakan ketika kecemasan (jika berlaku rakan sebantal mengalami igauan berjalan untuk menyeberang katil).

Sekiranya pakatan pembangkang sibuk membuat beberapa adjustment di sana sini, masih tidak melepasi fasa trial and error, terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah titik bengik yang kadang-kadang kelihatan membengkak kerana tiada pengalaman dalam mengurus-tadbir sesebuah negeri; keadaan ini sudah pasti membuang waktu dan membazir wang rakyat.

Penggabungan parti-parti dalam pakatan pembangkang memang penuh dengan permasalahan. Ikatan mereka agak longgar, matlamat mereka kabur dan jalan yang mereka teroka bersimpang perenang. Antara mereka juga penuh dengan krisis dan konflik yang kadang-kadang sangat meruncing. Memang tidak ada kewajaran untuk rakyat menerima mereka dan memberikan peluang kepada mereka memerintah.

Segala-galanya sudah terbukti sepanjang dua tahun mereka diberi mandat untuk memerintah beberapa buah negeri. Cukuplah, jangan jadikan rakyat mangsa percaturan politik yang merugikan dan tidak berkesudahan.


dipetik dari Mingguan Malaysia 7 Mac 2010

Kopitiam vs mamak

Restoran kopitiam kini makin popular dan mendapat sambutan orang ramai. Kemunculannya begitu ketara sehingga dalam satu deretan rumah kedai, terdapat tiga restoran seperti itu.

Kalau dulu kopitiam hanya dikunjungi ramai pelanggan kaum Cina kini ia menjadi tarikan semua kaum termasuk orang muda. Kopitiam sekarang tidak lagi kelihatan seperti kedai kopi yang selekeh. Fizikal premis dan hiasan dalaman jauh lebih selesa serta kelihatan moden.

Menunya juga sudah pelbagai, bukan lagi setakat kopi, roti bakar dan telur separuh masak. Nasi lemak rendang masakan Melayu, mee rebus malah teh tarik menjadi antara sajian popular.

Penjenamaan semula kopitiam ternyata membawa kejayaan ketika usaha penjenamaan banyak produk dan perkhidmatan lain tidak membuahkan hasil. Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha berlumba-lumba menyertai perniagaan tersebut. Nama-nama seperti Old Town White Coffee, Georgetown White Coffee, One Asia Station, Bangi Kopitiam, Kluang Station, Pak Hailam, Uncle Lim's, Ipoh Kopitiam dan berbelas-belas jenama lagi sudah tidak asing.

Memang banyak yang boleh diperkatakan tentang fenomena kopitiam termasuk isu-isu dan gosip yang berkaitan. Antaranya terdapat kopitiam terkenal dimiliki oleh tokoh parti pembangkang tertentu. Menurut maklumat, perniagaan kopitiam berkenaan hanya untuk pengusaha Cina dan francaisnya tidak dibuka kepada pengusaha Melayu, India dan Sikh. Sampai begitu sekali pertimbangan rasis yang diambil.

Selain itu, timbul isu banyak kopitiam tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berdasarkan laman web halal Jakim, hanya dua kopitiam iaitu Pak Halim Kopitiam dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai logo halal Jakim sementara kebanyakan kopitiam lain menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf. Lebih mengejutkan siasatan Jakim mendapati ada pengusaha kopitiam mencampurkan arak dalam masakan dan ada juga yang menjual arak. Awang juga kurang senang dengan sebahagian kopitiam yang hanya menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam menu mereka. Bahasa Kebangsaan diabaikan sama sekali sedangkan pelanggan terdiri daripada semua kaum. Ingatlah, Malaysia bukan Hong Kong atau Taiwan.

Sebenarnya banyak persoalan berlegar berkaitan kopitiam termasuk apakah popularitinya akan bertahan lama? Ramai yang yakin terhadap masa depannya dan tidak kurang yang melihat fenomena kopitiam bersifat sementara.

Yang pasti, restoran-restoran mamak yang menerima tamparan dengan kemunculan banyak kopitiam, tidak mahu mengalah begitu sahaja. Banyak restoran mamak dipermodenkan kepada taraf bistro lengkap dengan WiFi dan pelbagai tarikan lagi.

Pada Awang, elok berlaku persaingan yang sihat dan biarlah masyarakat mempunyai banyak pilihan. Sama ada kopitiam akan menguasai pasaran atau restoran mamak akan lebih dominan, kita tunggu. Tetapi Awang ada kecenderungan sendiri. Kalau berada di kopitiam terutama jenama yang bersifat rasis dan tiada sijil halal Jakim, Awang sekadar minum. Berada di restoran mamak pula, ia lebih daripada itu.


mingguan malaysia 7 Mac 2010

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Powered By Blogger

Followers

Beyond Perspectives © 2008. Blog design by Randomness