PPSMI dan MJ

7 Mac 2009, sekali lagi Malaysia dikejutkan dengan perbuatan masyarakat Melayu yang ‘jumud’. Perhimpunan yang dikatakan akan dijalankan secara aman seperti yang dinyatakan oleh pihak penganjur ketika meminta permit daripada pihak berkuasa telah bertukar menjadi demonstrasi jalanan sehinggakan memaksa pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) bertindak melepaskan gas pemedih mata. Apa yang dapat diperhatikan oleh penulis, rata-rata yang turut serta di dalam perhimpunan “gergasi” tersebut adalah terdiri daripada golongan-golongan muda yang pada hemat penulis adalah penunut IPTA dan IPTS. Inilah yang dibangga-banggakan oleh mereka-mereka yang berkenaan yang mendakwa mereka adalah mahasiswa-mahasiswa yang telah bangun untuk menuntut hak mereka. Tetapi realitinya tindakan sebegitu adalah satu tindakan yang tidak mencerminkan ilmu dan tinggi. Sepatutnya bagi mereka yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi tidak akan berbuat demikian, kerana sepatutnya mereka tahu bahawa tindakan tersebut adalah satu tindakan yang sia-sia. Sekali lagi, bangsa lain tergelak melihat kelakuan anak bangsa Melayu.

Perhimpunan yang dianjurkan itu adalah berkaitan dengan penghantaran memorandum bagi memansuhkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada pihak istana. Tetapi malangnya perhimpunan tersebut telah bertukar kepada perarakan besar-besaran. Inilah realiti kaum muda di Malaysia pada ketika ini, rata-rata hanya tahu mengikut sahaja tetapi tidak mengetahui apa-apa. Apabila ditanya kepada pihak penganjur, jawapan mudah dan selamat telah dilontarkan. Kata pihak yang berkenaan “ dalam perhimpunan tersebut, orang yang bertanggungjawab untuk menghantar memorandum tersebut hanyalah tujuh orang sahaja tetapi tidak tahulah bagamana boleh terjadi sedemikian. Ada pihak-pihak lain yang telah mengambil kesempatan terhadap perhimpunan tersebut bagi kepentingan politik mereka”. Persoalannya adakah betul mereka tidak tahu-menahu tentang perarakan tersebut? Betulkah terdapat pihak lain yang mengambil kesempatan? Siapakah pihak tersebut? Bersama-samalah kita fikirkan kesahihannya.

Pada umumnya program PPSMI dijalankan adalah untuk meningkatkan lagi kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar Melayu yang rata-rata telah ketinggalan di dalam bahasa Inggeris. Setelah enam tahun program tersebut dijalankan telah dapat dilihat peningkatan pengunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah. Ini dapat dibuktikan melalui statistik yang di keluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, di mana terdapat peningkatan yang memberangsangkan di dalam matapelajaran bahasa Inggeris. Ketika ini, di Malaysia kemampuan untuk berbahasa Inggeris adalah merupakan satu kemestian bagi membolehkan seseorang individu itu untuk mendapatkan kerja. Ini adalah kerana, kebanyakan syarat kelayakan bagi memohon sebarang kerja tidak kira di sektor swasta atau pun kerajaan, antara kriteria utama yang dinyatakan adalah bahasa Inggeris.

Sekiranya seseorang tidak tahu atau tidak fasih bertutur di dalam Bahasa Inggeris, bagaimana mereka akan diterima, terutamanya bagi kaum Melayu. Adakah selama-lamanya Melayu akan terus menganggur? Kalau tidak pun, adakah selamanya Melayu akan berada di bawah? Inilah yang dikatakan Melayu jumud, yang membangkang membabi buta tanpa melihat pada masa akan datang. Apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan adalah salah dan perlu dibangkang sekeras-kerasnya tanpa melihat apakah faedahnya (penulis bukanlah mengatakan apa yang dibawakan oleh kerajaan semua adalah yang baik, tetapi kita perlulah berfikiran matang dan melihat ke hadapan).

Di sini penulis ingin menegaskan pengunaan bahasa Inggeris bukan sahaja hanya berguna apabila hendak mencari kerja sahaja. Ia juga amat berguna kepada para pelajar melangkah ke alam universiti. Melalui pengalaman penulis sendiri, di universiti kebanyakan bahan rujukan yang digunakan adalah daripada tulisan-tulisan berbahasa Inggeris, tidak banyak bahan bacaan yang berbahasa Melayu. Kalau ada pun ia dalam bilangan yang terhad. Penulis berasa hairan, kenapa satu-satu dasar yang di rasakan perlu bagi membela masa depan anak bangsa sendiri dihalang, dibangkang. Terkadang, penulis juga pelik apabila mengetahui bahawa terdapat segilintir pelajar-pelajar universiti yang dapat mendapat tempat di dalam bidang-bidang yang memerlukan bahasa Inggeris yang kuat seperti Undang-undang tidak mempunyai asas atau tidak melepasi tahap minima peperiksaan bahasa Inggeris universiti (MUET). Suatu ketika penulis terperanjat apabila mengetahui terdapat ramai pelajar-pelajar daripada Fakulti Undang-undang tidak melepasi tahap minima syarat kelayakkan bahasa Inggeris bagi kursus tersebut bahkan terdapat juga dari kalangan mereka hanya mendapat tahap kelulusan MUET Band satu dan dua sahaja (namun begitu masih lagi berlagak hanya kerana mereka pelajar undang-undang).

Bukanlah penulis mengagung-agungkan bahasa barat dan meninggalkan bahasa Melayu, tetapi perlu diingatkan bahawa negara Malaysia pada zaman sekarang tidak seperti negara matahari terbit iaitu Jepun yang mempunyai kuasa ekonomi yang kuat dan kukuh dan boleh berdiri dengan sendiri. Sehinggakan mereka boleh mengunakan bahasa mereka sendiri di dalam apa-apa jua urusan mereka tanpa perlu bahasa asing. Malaysia kini masih perlu bergantung kepada negara-negara lain bagi memasarkan produk-produk kita. Bagi penulis golongan-golongan ‘jumud’ inilah yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai “Melayu Mudah Lupa”.

0 comments:

Powered By Blogger

Followers

Beyond Perspectives © 2008. Blog design by Randomness